
KUALA LUMPUR 8 Okt – Malaysia meraih 20 pengiktirafan pada ASEAN Energy Awards (AEA) 2026, termasuk lapan kemenangan, tujuh naib juara dan lima tempat ketiga, menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Kemenangan tersebut memperbaiki keputusan pada tahun 2025 yang menerima16 pengiktirafan termasuk enam kemenangan kategori.
Menurut PETRA, prestasi lebih baik itu mencerminkan peningkatan keupayaan organisasi tempatan dalam melaksanakan penyelesaian kecekapan tenaga dan tenaga boleh baharu, termasuk bangunan cekap tenaga dan hijau, biogas, solar serta mikro- hidro.
Turut menerima pengiktirafan ialah projek melibatkan teknologi baharu seperti hidrogen hijau, penukaran sisa kepada tenaga (waste-to-energy) dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS).
PETRA berkata, sebelum mewakili Malaysia di peringkat AEA 2026, organisasi terbabit terlebih dahulu menerima pengiktirafan melalui Anugerah Tenaga Kebangsaan (NEA) , yang menjadi platform mengenal pasti projek dan organisasi berpotensi untuk diketengahkan di peringkat ASEAN.
Kementerian itu berkata, pengiktirafan berkenaan membuktikan keupayaan industri, perniagaan dan institusi Malaysia menterjemahkan aspirasi peralihan tenaga negara kepada penyelesaian praktikal, selain mencerminkan kepentingan kerjasama.
AEA 2026 disampaikan di Manila, Filipina bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-44 (AMEM) dan ASEAN Energy Business Forum (AEBF) , selaras dengan objektif Dasar Tenaga Negara 2022-2040 serta Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk membangunkan sistem tenaga yang selamat, mampan dan inklusif.
PETRA berkata usaha itu turut diperkukuh melalui Pelan Tindakan Kecekapan Tenaga Negara 2.0 (NEEAP 2.0) 2026-2035 yang menyasarkan penjimatan tenaga terkumpul 815,000 terajoule (TJ) , kira-kira RM85 bilion penjimatan tenaga, RM36 bilion pelaburan swasta dan 29,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh 10 tahun. – DagangNews.com (https://dagangnews.com)
Sumber: Dagang News